Warna 1   Warna 2   Warna 3      
msen
A- A A+

”GURU: MEMBINA ILMU MENYEMPURNAKAN AKHLAK”

 

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين

 

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah (Surah Ali-Imran: 110)

 

Allhamdulillah,  kesyukuran jua dipanjatkan ke hadrat Allah SWT  kerana dengan izin dan limpah kurniaNya, kita sekali lagi berpeluang menyambut HARI GURU pada tahun 2015 ini.  Segala puji-pujian untuk Allah S.W.T. yang menguruskan segala perkara dengan tadbiran-Nya serta menghiaskan manusia dengan ilmu-Nya supaya dengan itu berbezalah antara manusia dengan makhluk lain yang diciptakan Allah di alam ini.

Terlebih dahulu saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ”Selamat Hari Guru” kepada seluruh  warga pendidik Yayasan Islam Kelantan yang telah menabur bakti dan mencurahkan tenaga untuk menyuburkan generasi yang berilmu dan beriman.  Saya juga merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas segala usaha gigih dan kesanggupan para guru meletakkan keutamaan kecemerlangan pelajar melebihi perkara lain sehingga pelajar-pelajar  sekolah  YIK mampu bersaing di peringkat nasional.

 

Para guru  yang dihormati sekalian.

Pada kesempatan ini marilah sejenak kita melihat kepada apa yang telah dibina oleh baginda Rasulullah S.A.W. dalam membangunkan insan sesuai dengan fitrah kejadian Allah. Keindahan manusia bukan sekadar dinilai berdasarkan raut wajah yang menarik, penampilan yang bergaya dan corak pergaulan yang memukau, tetapi perhiasan yang tiada bandingannya menyerlahkan keperibadian seseorang ialah dengan akhlak yang mulia.  Akhlak merupakan satu pancaran daripada kemurnian seseorang insan yang dipengaruhi oleh nilai-nilai yang diyakini oleh seseorang, dan sikap yang menjadi sebahagian daripada keperibadiannya.

 

Para guru yang dihormati  sekalian,

Para guru perlulah sentiasa peka dengan perubahan teknologi dan  ledakan maklumat dalam mendepani cabaran sebagai seorang guru.  Mereka tidak boleh jumud,  berpuas hati dengan ilmu yang ditimba dimenara gading suatu masa dahulu. Perubahan arus pendidikan semasa memerlukan mereka sentiasa menambah ilmu,  menguasai teknik mengajar dan menguasai teknologi maklumat dan dapat mengadaptasi dalam Pengajaran dan Pembelajaran (P & P)  semasa berdepan dengan pelajar.

Mereka juga seharusnya kreatif dan inovatif dalam menyampaikan ilmu seiring dengan perkembangan teknologi hari ini. Pengajaran yang berteraskan guru sepatutnya ditukar kepada pengajaran yang berteraskan murid menggunakan kaedah yang interaktif.  Kaedah pengajaran juga dipelbagaikan bagi menggalakkan pelajar berfikir secara kritis,  inovatif  dan analitikal. Guru yang hebat dapat menghasilkan pelajar yang boleh mengaplikasikan ilmu yang diterimanya,  berfikir di luar kotak, memiliki kemahiran berkomunikasi,  aktif di dalam atau di luar kelas serta memiliki akhlak-akhlak yang mulia,  beramal soleh serta  layak berkhidmat untuk membangun keluarga,  masyarakat,  negara dan ummah.

 

Para guru yang dihormati  sekalian,

Dalam kita membina model yang terbaik untuk menjadi qudwah dan teladan kepada para pelajar, seharusnya kita terlebih dahulu bersedia untuk mengikis segala sifat-sifat buruk dan sebarang bentuk keperibadian yang tidak bersesuaian dengan panduan yang telah diberikan oleh Rasulullah S.A.W. Bersedia untuk menghayati dengan penghayatan yang sebenar tanpa berselindung sehingga lahir nilai-nilai murni yang dapat diaplikasikan oleh semua pelajar. Lisanul Hal itu lebih bermakna daripada lisanul Maqal.

Dalam membicarakan soal pembangunan akhlak ini marilah kita menyusuri model yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W, yang bukan sahaja untuk difahami, tetapi untuk dilaksanakan.

"Dan sesungguhnya engkau memiliki akhlak yang sungguh agung". (Al-Qalam: 4)

 

Juga firman-Nya yang bermaksud:

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik". (Al-Ahzaab; 21)

 

Persediaan untuk menjadi pendidik contoh ini perlu diintegrasikan dengan persiapan ilmu yang mendalam, kekuatan iman dan kesungguhan amal. Hanya ilmu semata-mata masih belum dapat memberi jaminan kepada seseorang, Justeru itu  kombinasi Ilmu, Iman dan Amal adalah rantaian yang kukuh menampilkan wajah pendidik berwibawa yang sebenar.

 

Para guru yang dihormati  sekalian,

Guru adalah merupakan cermin yang cukup berkesan kepada para pelajar,  pengaruh dan teladan dari guru cukup bermakna kepada pembentukan jatidiri pelajar pada masa depan.  Justeru itu guru-guru perlu menampilkan contoh yang  terbaik dan murabbi yang berkesan sehingga mampu menjadi ikutan serta idola mereka setelah dewasa. Para guru tidak sepatutnya melihat kerjaya mereka sebagai satu pekerjaan semata-mata tetapi seharusnya penuh ketara sedar melaksanakan tanggung jawab dengan penuh rasa minat,  amanah, dedikasi, jujur dan berintegriti.  Mereka perlulah memiliki personaliti unggul yang boleh menjadi idola dan inspirasi murid dalam pembentukan sikap dan akhlak mahmudah pelajarnya. Saya mengharapkan agar guru-guru Yayasan Islam Kelantan dapat mengelakkan diri dari pelbagai prasangka dan tohmahan negatif yang bukan sahaja melibatkan individu berkenaan tetapi tempiasnya akan tetap menimpa institusi yang kita sayangi.

 

Para guru yang dihormati  sekalian,

Akhirnya saya sekali lagi berseru kepada diri saya dan tuan-tuan dan puan-puan sekalian agar menjadikan kerja-kerja mencurahkan ilmu akli dan naqli  serta pembinaan keperibadian pelajar sebagai tugas dan tanggungjawab sejati seolah-olah mendidik anak-anak sendiri. Harapan ibu bapa yang telah memberi kepercayaan yang cukup tinggi kepada kita untuk mengasuh dan membimbing jiwa anak-anak hendaklah kita hargai. Janganlah hendaknya kita  menjadikan anak-anak yang telah diserahkan kepada kita di sekolah dengan penuh harapan ini akhirnya hancur berkecai hanya disebabkan oleh kecuaian dan kelalain kita dalam menunaikan tugas dan tanggunjawab yang sepatut terpikul atas bahu  kita warga pendidik.

Akhir kata saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ”Selamat Hari Guru”   kepada semua warga pendidik YIK . Sebarang kesilapan dalam memberi pendidikan kepada generasi hari ini akan membawa akibat buruk yang berpanjangan.   Sesungguhnya negara amat memerlukan khidmat bakti para guru dalam melahirkan modal insan yang berilmu dan berakhlak mulia bagi membina negara bangsa yang mampu memulihkan kecemerlangan tamaddun seperti generasi awal Islam.

Wabillahi Taufik, wassalamu Alaikum wr. Wbt.

 

Pengarah
Yayasan Islam Kelantan
21 Syaaban 1436H bersamaan 10 Mei  2015

BERHUBUNGI DENGAN KAMI

FacebookTwitterFlickrYoutube

PENAFIAN:

Yayasan Islam Kelantan tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat atau daripada kecacatan atau kesilapan kandungan di dalam laman web ini.

KEMASKINI PORTAL

  • Dikemaskinikan pada : 11 September 2019.
© Yayasan Islam Kelantan 2019

Search