Warna 1   Warna 2   Warna 3      
msen
A- A A+
Majlis Graduasi Tahfiz 2019

KOTA BHARU : Tanggal 18 Januari 2020 bersamaan 22 Jamadil Awal 1441H, Yayasan Islam Kelantan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan telah mengadakan Majlis Graduasi Tahfiz Kali ke-10 tahun 2019 bertempat di Dewan Besar Balai Islam, Lundang, Kota Bharu, Kelantan.

Majlis Graduasi Tahfiz ini telah disempurnakan oleh YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Menteri Besar Kelantan dengan menyerahkan Sijil Tahfiz Al-Quran kepada 262 graduasi yang telah menamatkan hafazan 30 juzuk Al-Quran dan bergelar huffaz.

YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Menteri Besar Kelantan juga berbesar hati mengurniakan Anugerah Tokoh Tahfiz kepada Nik Muhammad Hazim bin Nik Abdul Aziz daripada Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas dan Izzah Irdina binti Othman daripada Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah.

Selain itu, dua pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran wal Qiraat Pulai Chondong, berusia 17 tahun telah berjaya mendapatkan Anugerah Khas Ijazah Sanad Bacaan Al-Quran 30 juzuk secara khusus daripada syeikh yang mempunyai sanad bacaan yang bersambung kepada Rasulullah SAW.

Yayasan Islam Kelantan juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Syeikh Abdul Rahman Ibrahim Bin Muhammad Ar-Rubai’an, Atase Agama Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur dan Kerajaan Arab Saudi yang turut hadir menyampaikan sumbangan 676 Mushaf Al-Quran, Al-Quran Terjemahan Bahasa Melayu dan Al-Quran Terjemahan Bahasa Inggeris.

Hadir sama dalam Majlis Graduasi Tahfiz Kali ke-10 Tahun 2019 ialah YB Dato’ Haji Mohd Amar bin Abdullah, Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Dato’ Hasan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains Dan Teknologi, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan serta ibu bapa.

Yayasan Islam Kelantan mengucapkan sekalung tahniah dan syabas kepada anak-anak tahfiz yang bakal menjadi produk modal insan di bawah Membangun Bersama Islam yang berperanan menjana kekuatan ummah dengan sumbangan-sumbangan yang berterusan kepada masyarakat dan agama.

 
236 PELAJAR MEMPEROLEHI 10 MUMTAZ DALAM SEMUA MATA PELAJARAN SMU / SMU (DINI) DAN SMTQ TAHUN 2019

Pelajar yang lulus dalam peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) pada tahun 2019 ialah seramai 5669 orang atau 92.12 peratus daripada jumlah calon seramai 6,154 orang iaitu lulus sekurang- kurangnya pangkat Maqbul (lulus) untuk 10 mata pelajaran yang diduduki dalam peperiksaan tersebut. Berlaku penurunan sebanyak 0.86 peratus.

Pencapaian kecemerlangan pangkat Mumtaz (Cemerlang) seramai 2635 calon berbanding 2,807 calon pada tahun 2018. Pencapaian pangkat Jayyid Jiddan (Amat Baik) seramai 1,513 calon berbanding 1496 calon pada tahun 2018. Pencapaian pangkat Jayyid (Baik) seramai 1132 calon berbanding 1,150 calon pada tahun 2018 dan pencapaian pangkat Maqbul (Lulus) seramai 389 calon berbanding 336 calon pada tahun 2018.

Pencapaian terbaik 10 Mumtaz semua mata pelajaran ialah seramai 236 orang calon manakala seramai 2635 orang calon mendapat pangkat Mumtaz (Pangkat 1)

Berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS), Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah memperolehi (GPS : 1.01), Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat Pulai Chondong memperolehi (GPS : 1.03) dan Maahad Muhammadi Perempuan serta Maahad Tahfiz Al-Asriah memperolehi (GPS : 1.13)

Manakala bagi peperiksaan Sijil Tinggi Ugama Pondok (STUP), seramai 61 orang calon telah menduduki peperiksaan. Jumlah calon meningkat seramai 12 orang berbanding tahun 2018 seramai 49 orang calon. Pelajar yang lulus pada tahun 2019 ialah seramai 36 orang calon. Peratus kelulusan penuh Sijil Tinggi Ugama Pondok tahun 2019 ialah 59.02 peratus berbanding 83.67 peratus tahun 2018. Keputusan ini menunjukkan penurunan sebanyak 24.65 peratus  berbanding tahun 2018.

Pencapaian kecemerlangan pangkat Mumtaz (Cemerlang) seramai 6 orang. pangkat Jayyid Jiddan (Amat Baik) seramai 10 orang, pangkat Jayyid (Baik) seramai 17 orang dan pangkat Maqbul (Lulus) seramai 3 orang. Terdapat  seorang calon yang mendapat 8 Mumtaz dalam semua mata pelajaran.

Melalui keputusan yang diumumkan ini, adalah diharapkan semua pihak yang terlibat sama ada para guru, ibu bapa dan pelajar dapat meneruskan kecemerlangan pada masa – masa akan datang.

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Yayasan Islam Kelantan tahun 1441H/2019M

Kota Bharu : Sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini disambut meriah oleh semua warga kerja Yayasan Islam Kelantan pada 28 November 2019. Majlis ini telah berlangsung di Bilik Seminar Yayasan Islam Kelantan. Majlis ini telah dihiasi dengan cemerah Maulidur Rasul oleh Haji Sukeri bin Hussin, Penolong Pengarah (Sumber manusia) Yayasan Islam Kelantan.

Majlis diserikan lagi dengan bacaan selawat beramai-ramai ke atas junjungan besar Nabi Muhammad (S.A.W) oleh semua hadirin. Majlis berakhir dengan solat zohor berjemaah dan makan tengah hari.

Turut hadir bersama YM Pengarah Yayasan Islam Kelantan dan timbalan-timbalan pengarah Yayasan Islam Kelantan.

DPRK & Dasar Pendidikan Kebangsaan oleh Dr Yaacob bin Yusoff Awang

Kota Bharu : Satu Program taklimat mengenai Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan & Dasar Pendidikan Kebangsaan  telah diadakan di Yayasan Islam Kelantan pada 24 Novermber 2019 yang bertempat di Bilik Seminar 1 YIK.

Taklimat mengenai Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan & Dasar Pendidikan Kebangsaan telah disampaikan oleh penceramah jemputan, Dr Yaacob bin Yusoff Awang, Pengarah Istitusi Latihan Perguruan Kelantan. 

Program taklimat ini telah dihadiri oleh semua warga kerja Yayasan Islam Kelantan.

BERHUBUNGI DENGAN KAMI

FacebookTwitterFlickrYoutube

PENAFIAN:

Yayasan Islam Kelantan tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat atau daripada kecacatan atau kesilapan kandungan di dalam laman web ini.

KEMASKINI PORTAL

  • Dikemaskinikan pada : 11 Oktober 2020.
© Yayasan Islam Kelantan 2020

Search