msen
A- A A+

Berita

Batu Mengkebang:YM Pengarah Yayasan Islam Kelantan, YM Tengku Ab Rahman Tuan Yunus mengadakan lawatan Kerja ke SMU(A) Batu Mengkebang Kuala Krai pada 3 Ogos 2017. Lawatan kerja yang diadakan antara lain adalah bertujuan meninjau secara lebih dekat perkembangan pembangunan dan akademik di sekolah berkenaan. Rombongan YM Pengarah disambut meriah oleh pelajar -pelajar dan juga persembahan dikir barat dari kumpulan dikir sekolah.

Beliau juga sempat mengadakan pertemuan dan beramah mesra dengan guru-guru. Dalam ucapan aluan, pengetua melahirkan rasa terharu dan amat teruja dengan kesudian YM Pengarah berkunjung ke SMU(A) As Saadah pada kali ini. Perkembangan pencapaian akademik cukup membanggakan dan dapat melahirkan pelajar cemerlang dalam peperiksaan SMU dan SPM. Peratus pencapaian juga meningkat dengan ketara sehingga menjadi aspirasi kepada semua pelajar.

Pengetua menegaskan komitmen beliau untuk terus memperkasa bidang akademik dan kokurikulum bagi meneruskan pencapaian dan dapat mengembalikan kegemilangan yang pernah dicatat sebelum ini.

Sementara itu YM Pengarah dalam ucapannya menyarankan agar susunatur pembangunan sekolah dapat dibuat dengan lebih tersusun, sehingga menampilkan suasana yang kondusif dan menarik untuk pengajaran dan pembelajaran.

Selain itu, kita perlu berbangga dengan tawaran pendidikan Islam yang lebih berkesan berbanding dengan institusi lain. Tahniah kepada pihak sekolah yang mampu menyedarkan masyarakat untuk menaruh kepercayaan kepada pengurusan pendidikan Islam.

Hadir dalam lawatan berkenaan semua Timbalan Pengarah, semua pegawai Unit Kenaziran, Penolong Pengarah Khidmat Pengurusan dan Penolong Pengarah Kurikulum Yayasan Islam Kelantan.

Pertandingan Majlis Ihtifal Ilmi ini sertai oleh 12 buah negeri seluruh malaysia kecuali negeri Sarawak. Sebanyak 10 acara dipertandingkan. Pertandingan Majlis Ihtifal Ilmi pada tahun ini bermula dengan acara bacaan kitab turath pada 04.08.2017 jam 9.00 malam ( Jumaat ) bertempat di Masjid SMA Al-Mashur Al-Islami, Balik Pulau, Pulau Pinang. Perserta dari Kelantan-YIK telah menyampaikan bacaan kitab turath ini pada giliran yang ke 3. Dan Alhamdulillah beliau telah menyampaikan kuliah bacaan kitab turath itu dengan baik. Pada 05.08.2017 ( Sabtu ) kesemua acara dipertandingan bermula Tilawah Dan Hafazan Al-Quran di Masjid SMA Al-Mashur Al-Islami, Syarahan Bahasa Melayu, Syarahan Bahasa Arab Dan Syarahan Bahasa Inggeris, Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen, Kuiz Bahasa Arab Dini, Seni Kaligrafi Khat berlangsung di dalam kelas SMA Al-Mashur Al-Islami sementara acara nasyid berlangsung di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Balik Pulau, pulau Pinang.

Keputusan rasmi adalah sebagaimana berikut :

Kelantan selaku Johan (EMAS)
- Nasyid ( Lelaki) 
- Syarahan Bahasa Melayu ( Perempuan )
- Seni Kaligrafi Khat (Perempuan )

Kelantan Selaku Naib Johan (PERAK)
- Syarahan Bahasa Arab( Lelaki ) 
- Kuiz Bahasa Arab Dini 
- Seni Kaligrafi Khat ( Perempuan )

Kelantan Selaku Tempat Ketiga (GANGSA)
- Nasyid( Perempuan )
- Bacaan Kitab Turath

SAGUHATI
1. Tilawah Al – Quran( Lelaki )
2. Tilawah Al – Quran( Perempuan )
3. Hafazan Al – Quran( Lelaki )
4. Hafazan Al – Quran( Perempuan )
5. Syarahan Bahasa Melayu ( Lelaki )
6. Syarahan Bahasa Arab ( Perempuan )
7. Syarahan Bahasa Inggeris ( Lelaki )
8. Syarahan Bahasa Inggeris( Perempuan )
9. Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen 
10. Seni Kaligrafi Khat ( Lelaki )

Pada penghujung Majlis Penutup Majlis Ihtifal Ilmi dan Penyampaian Hadiah, Kelantan diumumkan sebagai Johan Keseluruhan Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Menengah Agama Malaysia Peringkat Kebangsaan Kali Ke 4 Tahun 2017 dengan mendapat 3 EMAS, 3 PERAK DAN 1 GANGSA ( Kitab Turath juga mencapai pingat GANGSA tetapi tidak dikira dalam pungutan mata bagi menentukan Johan keseluruhan ).

Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Menengah Agama Malaysia Kali ke 4 Tahun 2017 telah dihadiri oleh Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Haji Abd Rahman Bin Haji Abbas, Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang diikuti dengan YB. Dato' Haji Mohd Salleh Bin Man,Yang DiPertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, YB Datuk Sri Dr. Hilmi Bin Yahya, Ahli Parlimen Balik Pulau, Pulau Pinang, Y. Bhg. Tan Sri Haji Othman Bin Mustapa,Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Pn. Hjh. Hakimah Binti Mohd Yusoff, Pengarah Bahagian Kemajuan Islam.

Pada Majlis Perasmian Penutup Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Menengah Agama Malaysia ( MIISMAM ) Kali Ke 4 Tahun 2017 yang telah dirasmikan oleh TYT Yang DiPertuan Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Haji Abd Rahman Bin Haji Abbas, Yang Berbahagia Tun Dato’ Seri Utama Haji Abd Rahman di mana beliau telah mengucapkan salam tarhiib, selamat datang dan terima kasih kepada semua kontinjen negeri yang datang ke Pulau Pinang. Beliau mengambil kesempatan untuk menceritakan tentang sejarah perkembangan pendidikan di Pulau Pinang. Antaranya sekolah paling lama di Malaysia iaitu Penang Free School yang mana sekolah tersebut telah menyambut ulangtahun ke 200 baru-baru ini.

Beliau difahamkan bahawa acara MIISMAM ini telah beberapa kali diadakan sejak 3 tahun yang lepas. Aktiviti dan acara yang dirancang dan dipertandingkan bukan sahaja untuk mengetengahkan bakat para pelajar sekolah aliran agama di bawah kelolaan majlis agama negeri bahkan boleh mengeratkan hubungan silaturrahim sesama kita. Sehubungan dengan itu, beliau berharap hubungan rapat yang terjalin pada hari ini akan dapat dieratkan untuk selama-lamanya. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada yang memenangi petandingan pada kali ini dan kepada yang tidak berjaya, boleh lah berusaha pada masa yang akan datang. Dengan lafaz yang mulia “ بسم الله الرحمن الرحيم ” Beliau dengan rasminya menutup pertandingan Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Menengah Agama Malaysia Peringkat Kebangsaan Kali 4 tahun 2017.

YBrs. Timbalan Pengarah ( Sekolah ) kemudiannya telah ditemuramah oleh pihak TV 1 dan TV Hijrah pada sesi sidang akhbar setelah majlis penutup tamat dan bersurai.

Brinchang: Pengetua-pengetua YIK perlu mempertingkatkan usaha untuk melonjak kecemerlangan pencapaian akademik pelajar-pelajar Yayasan Islam Kelantan. YM Pengarah YIK, Tengku Abdul Rahman Tuan Yunus berkata demikian dalam majlis Perasmian Penutup Kursus Membangun Bersama Islam Untuk Meningkatkan Profesionalisme Keguruan Untuk Pengetua-pengetua YIK. Kursus ini dijalankan selama 2 hari bermula 25 Julai di Hotel Rossa Passadena, Cameron Highland. Kursus di bawah anjuran Institut Latihan Perguruan Kelantan (ILPK) dengan kerjasama YIK telah menghimpunkan semua pengetua dan mudir Yayasan Islam Kelantan bagi mendapatkan kefahaman yang lebih mendalam dalam pelaksanaan dasar-dasar Kerajaan Negeri.

Dalam program yang sama YM Pengarah turut menegaskan agar penyebaran maklumat-maklumat palsu serta tidak sahih tentang perjalanan dan pengurusan Yayasan Islam Kelantan tidak wujud dalam kalangan pengetua-pengetua serta mudir-mudir. Maklumat serta bahan yang diterima hendaklah dikaji terlebih dahulu untuk mendapat kesahihan maklumat berkenaan sebelum penyebaran dibuat. Selain itu, jangan mudah terpedaya dengan dakyah palsu oleh pihak-pihak berkepentingan.

Para pengetua juga perlu memberi fokus kepada pembangunan akademik sehingga dapat melahirkan pelajar yang cemerlang di peringkat negeri dan negara. Usaha tanpa henti dan program akademik yang berterusan perlu digerakkan bagi menghadapi peperiksaan akhir tahun ini.

Perasmian kursus berkenaan disempurnakan oleh YB. Dato' Mohd Amar Hj. Nik Abdullah, Timbalan Menteri Besar Kelantan. Hadir sama Timbalan Pengarah ILPK Hj. Nik Hamdi Abd Ghani dan Timbalan Pengarah (Sekolah), Tn Hj. Che Kamaruddin Kamel Che Muhammad.                        

Kota Bharu: Kontinjen Yayasan Islam Kelantan muncul sebagai juara keseluruhan bagi Kejohanan Sukan Sekolah - Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) yang telah berlangsung di Kompleks Sukan Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.

Kejohanan anjuran bersama JAKIM ini telah berlangsung selama lima hari, bermula dari 16 hingga 20 Julai 2017 dan disertai oleh semua sekolah-sekolah agama seluruh Malaysia kecuali Negeri Perlis dan Sarawak dengan penyertaan seramai 1232 peserta.

Kelantan mendahului pasukan lain dengan memperolehi tiga pingat emas dalam acara Badminton(P), Bola Tampar (L), dan Bola sepak sekaligus diumumkan sebagai Johan Keseluruhan dalam kejohanan berkenaan.

Kejohanan tahunan ini diuruskan dengan kerjasama JAKIM mulai tahun 2014 dan penggiliran tuan rumah dibuat mengikut negeri. Bagi Kejohanan KESSUMA kali ke-19 pada tahun 2018, Perak telah terpilih untuk menjadi tuan rumah pada kejohanan KESSUMA yang akan datang.

YM Pengarah YIK mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua kontinjen yang telah memberikan kerjasama penuh bagi menjayakan sukan kali ini dan memohon kemaafan terhadap kekurangan yang ada dan mengharapkan program ini dapat memupukkan lagi semangat kesukanan serta dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara negeri.

Majlis Perasmian  Penutup telah disempurnakan oleh YB Dato' Dr. Mohamed Fadzli bin Dato' Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri Kelantan. Hadir sama YBhgia Tan Sri Dato' Hj. Othman Mustapha Ketua Pengarah JAKIM mewakili YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

 

NILAM PURI Yayasan Islam Kelantan (YIK) telah menganjurkan program qiamullail pada malam 21 Ramadhan
1438h / 16 Jun 2017. Program yang diadakan di musolla Yayasan Islam Kelantan yang dihadiri YM Pengarah, Timbalan-timbalan Pengarah dan warga kerja yayasan islam kelantan.

Program yang bermula awal jam 4 pagi itu diisi dengan amal ibadah seperti Qiamullail dan Solat Tahjud secara berjemaah serta bersahur beramai-ramai dengan jamuan sahur yang telah disediakan oleh pihak penganjur. Program diteruskan lagi dengan solat subuh berjemaah yang diimamkan
oleh Ustaz Shahran bin Ismail kemudian sedikit tazkirah disampaikan oleh Penolong Pengarah Perkhidmatan Guru, Ustaz Azhar bin Salleh.

BERHUBUNGI DENGAN KAMI

FacebookTwitterFlickrYoutube

PENAFIAN:

Yayasan Islam Kelantan tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat atau daripada kecacatan atau kesilapan kandungan di dalam laman web ini.

KEMASKINI PORTAL

  • Dikemaskinikan pada : 17 Mac 2019.
© Yayasan Islam Kelantan 2019

Search