Perutusan Pengarah

 

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين

 

Firman Allah yang bermaksud:

"Dan sungguh Kami akan berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa  dan buah-buahan.  Berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan,"Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un." Mereka itulah yang mendapatkan keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Rabbnya  dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk".

[Al Baqarah 2 :155-157]

 

Alhamdulillah marilah sama-sama kita panjatkan kesyukuran kehadrat Allah s.w.t dengan limpah kurnia dan izinNya dapat sekali lagi kita berpeluang berada dalam sesi persekolahan baru 2015 ini. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada seluruh penduduk yang terlibat dengan banjir yang melanda negeri kita pada penghujung bulan Disember 2014 baru-baru ini.  Banjir besar tersebut melanda beberapa  daerah dan melibatkan kerosakan yang agak besar seperti kehilangan dan kerosakan  rumah,  kerosakan perabot,  tanaman dan sebagainya. Adalah diharapkan kita dapat menerima semua ini sebagai ujian daripada Allah supaya  kita sentiasa bersabar dan saling bantu membantu mereka yang susah agar Allah mengangkat darjat iman kita semua. Ekoran musibah ini jugalah pihak kerajaan telah menunda tarikh permulaan sesi persekolahan 2015 agar semua pihak dapat membuat persediaan fizikal dan mental bagi menyambut tahun baru yang lebih mencabar.

Saya terlebih dahulu mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terimakasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan kerana telah memberi kepercayaan kepada saya menerajui sebuah organisasi yang begitu penting yang menguruskan pembangunan insan berteraskan Pendididikan Agama di Negeri Kelantan bermula 1 Januari 2015.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan “Selamat datang” kepada pelajar-pelajar yang baru memulakan pengajian di sekolah Yayasan Islam Kelantan, dan selamat meneruskan lembaran baru mengutip permata ilmu kepada pelajar-pelajar sedia ada. Kepada seluruh warga pendidik sambutlah anak-anak kita ini ke alam sesi persekolahan yang baru dengan hati yang lapang,  minda yang terbuka dan penuh komitmen untuk membentuk mereka menjadi insan yang cemerlang seperti yang diharapkan oleh ibu bapa mereka  Sesungguhnya tugas para guru adalah amat mulia dan sebagai murabbi yang ditinggalkan oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W.

Kepada pelajar-pelajar sekalian, ingatlah  bahawa, usaha murni menuntut ilmu dan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti baik di dalam dan di luar bilik darjah adalah satu usaha membentuk personaliti, ketrampilan dan jati diri sesuai dengan pembinaan spiritual berlandaskan tuntutan Islam.

Saya menyeru kepada semua pelajar rebutlah segala peluang yang disediakan di sekolah untuk menyiapkan diri sebagai orang yang berilmu, beramal soleh dan mampu menyumbang untuk membangun diri, masyarakat dan ummah. Pembangunan insan yang cemerlang tidak dapat dilahirkan dalam sekelip mata, bahkan ianya adalah usaha yang berterusan yang perlu dipupuk, dibimbing dan diasah seperti kata pepatah, melentur buluh hendaklah dari rebungnya. Pepatah juga mengatakan, “Akar ilmu itu memangnya pahit tetapi buahnya adalah lazat”.

Para guru dan pelajar sekalian,

Guru sebagai teladan perlulah menunjukkan rasa keperihatinan yang tinggi kepada dunia pendidikan.  Mereka  perlu menggunakan kebijaksanaan untuk menyentuh jiwa dan perasaan semua pelajar bagi  menggalakkan komunikasi dua hala yang menjadi teras kepada keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran.

Perkembangan kemajuan pantas pada hari ini menuntut pendidik menyiapkan diri dengan berbagai fakta dan ilmu yang hendak disampaikan dalam pengkhususan masing-masing. Kaedah penyampaian berkesan menggunakan kemudahan masakini akan lebih memudahkan pengajaran dan melahirkan keseronokkan dalam pengajaran dan pembelajaran.

 Sebagai pendidik, semua guru harus menjiwai profesion ini kerana ianya merupakan satu profesion amat mencabar. Kesilapan dan kealpaan seseorang guru dalam proses pembentukan ini bakal mengundang keruntuhan satu generasi ibarat berguru kepalang ajar bagaikan bunga kembang tak jadi.

Saya ingin menyeru kepada guru untuk memberi dedikasi, komitmen, dan keprihatinan yang tinggi kepada semua pelajar. Guru yang berpengetahuan dan berpengalaman tentu sekali dapat mengenal pasti potensi dan bakat yang ada pada setiap pelajar. Guru hendaklah menggembleng tenaga dan kepakaran untuk memperkukuhkan potensi diri pelajar untuk berjaya dalam semua bidang yang diceburi serta mengimbangi perkembangan intelek, rohani, jasmani dan emosi.

Keputusan Peperiksaan PT3 yang dikeluarkan baru-baru ini rata-rata merosot jika dibandingkan dengan keputusan PMR pada tahun-tahun sebelumnya. Walaupun perbandingan antara dua peperiksaan ini tidak berapa sesuai kerana format dan bentuk soalan yang jauh berbeza serta berbentuk subjektif, namun menjadi satu cabaran yang paling besar kepada semua para pendidik,  ibu bapa dan pelajar agar mengambil serius  cabaran pendidikan PT3.  Sikap guru-guru dan pelajar yang pada awalnya mengambil mudah peperiksaan ini ternyata silap.  Kebanyakan soalan yang disoal adalah meliputi aras tinggi yang memerlukan pelajar membuat persediaan rapi.  Adalah diharapkan tahun 2015  semua pihak sudah mengambil pengajaran dari kesilapan tersebut dan membuat persediaan yang rapi pada tahun ini bagi menghadapi cabaran pendidikan yang lebih mencabar.

Ucapan sekalung tahniah kepada semua pihak kerana keputusan peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) tahun 2014 yang baru diumumkan telah meningkat.  Keputusan umum tahun ini ialah 80.26% meningkat 1.09% dari tahun 2013 (79.17%). Pada tahun ini terdapat 11 buah sekolah yang mencapai keputusan 100%.  Seramai 1553 orang calon yang mendapat peringkat Mumtaz (Cemerlang) berbanding 1534 calon pada tahun sebelumnya. Begitu juga dengan keputusan Sijil Menengah Tahfiz Al-Quran (SMTQ) yang masih mengekalkan keputusan 100% untuk tahun ketiga berturut-turut.  Manakala peratus pencapaian keputusan Sijil Tinggi Ugama Pondok (STUP) ialah 78.12% meningkat 12.82 % berbanding tahun 2013. Saya mengharapkan agar semua pihak meningkatkan usaha agar keputusan ini terus meningkat pada tahun-tahun mendatang.

Para guru dan pelajar sekalian,

Kecemerlangan organisasi semestinya bermula dari pengurus yang cemerlang. Seorang pengurus yang cemerlang semestinya  memiliki pengurusan  kerja yang mantap termasuk menyusun falsafah, misi dan visi sehinggalah kepada membentuk amalan persekitaran dan budaya kerja yang konsisten, Pengurus begini amat mementingkan pembinaan Sikap (Atitude) Kemahiran (Skill) dan Pengetahuan (Knowledge) yang meluas untuk disebar luaskan dan diamalkan di kalangan anggota bawahannya .

Guru yang berperanan sebagai gedung  ilmu perlu memantapkan diri melalui penyertaan dalam pelbagai wacana dan forum untuk menambah ilmu serta pengetahuan. Ini penting  kerana guru bukan semata-mata penyampai ilmu bahkan orang yang bertanggungjawab untuk membentuk kaedah pemikiran dan sahsiah kalangan pelajar.

 

Para guru dan pelajar yang saya kasihi,

Kepada murid-murid yang baru sahaja berjaya dalam peperiksaan PT3, SMU,SMTQ dan STUP saya mengucapkan tahniah dan teruskan perjuangan anda dalam usaha mencari ilmu dan pengalaman. Bagi murid-murid yang baru memasuki Tingkatan 1,  sudah pasti dapat menimba pengalaman baru persekolahan dan dapat meluaskan kenalan di samping mendapat ilmu pengetahuan yang amat berguna.

Saya juga berharap agar seluruh warga YIK dapat terus menggandakan usaha merapatkan jurang perbezaan antara Maahad-maahad Kerajaan dan SMU(A) Bantuan yang mempunyai matlamat pendidikan yang sama. Justeru itu, kita sebagai anggota pada satu badan bergerak senada dan seiringan memartabatkan pendidikan secara professional yang menjadi impian semua pihak .

Harapan saya, kepada semua guru dan murid, marilah kita bersama-sama berusaha membangunkan diri menyerlahkan keindahan Islam dalam kehidupan untuk mewarnai masyarakat di hari muka.

 

Sekian Wasalam

 

Tengku  Ab Rahman  bin Tuan Yunus
Pengarah
Yayasan Islam Kelantan
14 Rabiulawal 1436 H / 6 Jan   2015

YAYASAN ISLAM KELANTAN
Peti Surat 248,15730 Nilam Puri, Kota Bharu, Kelantan, Malaysia
Tel: 09-7126315  |  Fax : 09-7127806  |  Email: yik@kelantan.gov.my

MyGov Kelantan Mampu MSC JPA  IIM KNS 1Malaysia SPA SPR PCB

 PENAFIAN:
Yayasan Islam Kelantan tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat atau daripada kecacatan atau kesilapan kandungan di dalam laman web ini.